Friday 15 July 2011

Isu dan cabaran pengintegrasian teknologi dalam pendidikan

Penggunaan komputer dalam pendidikan sudah tentu akan melibatkan pengintegrasian teknologi seperti CD-ROM, pangkalan data, multimedia dan internet. Perubahan pendidikan melalaui revolusi teknologi maklumat sudah tentu memberi cabaran kepada kreadibiliti kaum guru. Guru tidak lagi menjadi satu faktor yang penting sebagai penyampai atau pemberi ilmu pengetahuan. Peranan guru akan berubah daripada pengajar dan pendidik kepada pemudahcara, tutor, perancang dan penilai pembelajaran murid. Perkembangan ICT yang pesat juga turut menyaksikan guru bukan hanya akan didapati di sekolah, malah pelajar akan mempunyai lebih ramai "guru" menerusi pembelajaran menggunakan internet. Di sini letaknya menjadi peranan guru dan institusi sekolah dalam mengadakan kawalan dalaman dan kawalan luaran. Kawalan secara dalaman kepada pelajar boleh dilaksanakan melalui penghayatan nilai moral, etika, budaya dan agama dalam organisasi dan masyarakat, pengukuhan falsafah dan prinsip kehidupan dengan menanamkan niat untuk membawa kebaikan kepada alam sejagat dan juga kekuatan rohani dalam menempuh sebarang cubaan. Kawalan secara luaran pula dilaksanakan dalam bentuk penguatkuasaan etika dan peraturan yang berkaitan dengan penggunaan komputer. Bagaimanapun, kawalan luaran hanya dapat dilaksanakan semasa pelajar berada di sekolah sahaja manakala kawalan dalaman berlaku secara berterusan tanpa mengira masa dan tempat. Ini jelas menunjukkan bahawa dalam setiap perkara, kawalan dalaman perlu diutamakan dan penghayatan kepada FPK merupakan suatu kemestian sama ada kepada guru ataupun pelajar. 
Perubahan peranan guru memerlukan guru-guru dilatih dan didedahkan dengan kemahiran baru supaya mereka tahu mengendalikan dan menggunakan teknologi maklumat dengan berkesan di sekolah. Dalam tempoh RMK-8, Bahagian Pendidikan Guru (BPG) menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah diberi tanggunghawab untuk memberi penekanan khusus terhadap penggunaan ICT dan kaedah pengajaran kreatif dengan mengkaji semula kurikulum latihan guru, mempergiatkan penggunaan komputer bagi mendapatkan bahan pembelajaran, menyediakan kursus jangka pendek dalam latihan guru oleh Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN). Bagaimanapun, guru sendiri hendaklah bersikap proaktif supaya mempunyai kemahiran yang diperlukan dengan belajar sendiri. Bukan setakat guru, malah pentadbir sekolah serta personel KPM juga perlu celik komputer. Ini adalah kerana penggunaan komputer tidak terbatas untuk pengajaran dan pembelajaran sahaja, malah pengurusan yang dibantu dengan komputer akan menjadi lebih efisien.
Penguatkuasaan akta-akta berkaitan dengan teknologi maklumat juga memberi implikasi terhadap sistem pendidikan negara. Memandangkan kos untuk mendapatkan perisian asli adalah terlalu tinggi dan pihak sekolah tidak berkemampuan untuk membelinya, kegiatan cetak rompak berleluasa di sekolah-sekolah. Akta Jenayah Komputer 1997 dan Akta Hakcipta (Pindaan) 1997, diharapakan dapat menghadkan dan membanteras masalah yang paling besar dalam industri ICT di Malaysia iaitu cetak rompak perisian. Dengan ini kerajaan berharap dapat meningkatkan kandungan tempatan dan aplikasi berasas komputer di Malaysia. Bagaimanapun, adakah dengan penguatkuasaan akta semata-mata merupakan langkah membendung kegiatan cetak rompak yang baik? Perkembangan ICT yang terlalu pesat telah menyaksikan pelbagai perisian baru silih berganti di pasaran. Di samping penguatkuasaan undang-undang, apakah alternatif lain yang disediakan oleh KPM supaya guru berpeluang menggunakan perisian ini secara halal demi pendidikan anak didiknya?
Menjelang penghujung RMKe-8, semua sekolah dijangka akan mempunyai makmal komputer. Ini bermakna, proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan integrasi komputer. Begitu juga dengan mempunyai jangkauan internet dan mengakses lab web tertentu, khususnya pendidikan membolehkan guru mempunyai pelbagai sumber untuk digunakan dalam pengajaran di bilik darjah. Sumber maklumat pelajar tidak lagi terbatas di sekolah atau perpustakaan sahaja. Pelajar boleh mendapatkan apa sahaja maklumat sama ada berbentuk pendidikan atau hiburan semata dengan begitu mudah sekali. Kewujudan laman-laman lucah dalam internet yang semakin berleluasa pada masa kini merupakan suatu gejala yang sukar dibanteras. Di samping kebaikan yang didapati melalui integrasi komputer dalam pendidikan, keburukan juga tetap datang. Kemungkinan untuk pelajar-pelajar ini menerima pengaruh negatif internet adalah tinggi. Oleh itu, guru sewajarnya mendedahkan etika dan undang-undang menggunakan komputer kepada para pelajarnya. Akta Jenayah Komputer 1997 yang telah wujud ini boleh membantu guru dalam mengadakan etika penggunaan komputer pada peringkat sekolah bagi membendung pengaruh negatif internet kepada pelajar. Tugas ini agak sukar dilaksanakan memandangkan capaian internet pada masa kini tidak terbatas di sekolah sahaja. Pada masa kini, kafe siber beroperasi di merata tempat tanpa sebarang kawalan undang-undang yang ketat.
Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula didapati menjamin keselamatan komunikasi antara pengguna. Ini kerana menurut akta ini memintas komunikasi elektronik adalah menjadi satu kesalahan. Justeru itu penggunaan internet dalam bidang pentadbiran atau perkhidmatan pendidikan akan lebih diyakini. Contohnya penggunaan internet untuk memudahkan komunikasi dalam Jabatan dan Bahagian dalam Kementerian Pendidikan, seterusnya di Negeri, Daerah dan Sekolah. Dengan adanya Akta Hakcipta (Pindaan) 1997 rekod rangkaian peperiksaan berpusat, inventori sekolah, kemudahan pendidikan, maklumat peribadi akan dilindungi keselamatannya.
Akta Tandatangan Digital 1997 pula akan memudahkan pengurusan dalam bidang pendidikan. Pihak kementerian dapat menyebarkan maklumat pendidikan yang terkini kepada sekolah atau masyarakat setempat serta dapat berurusan secara digital dengan pihak Kementerian Pendidikan luar negara seperti negara ASEAN dengan lebih efektif dan tidak memerlukan kos yang tinggi dan masa yang lama.

Secara keseluruhannya, kemajuan teknologi maklumat di Malaysia telah mengalami perkembangan yang begitu pesat. Bagaimanapun, terdapat beberapa isu berkaitan dengan dengan pengunaan teknologi maklumat ini iaitu masalah etika penggunaan teknologi maklumat, isu hak cipta dan masalah keselamatan data. Menguatkuasakan undang-undang semata-mata bukan penyelesaiannya. Apa yang lebih penting ialah kesedaran setiap individu terhadap tanggungjawab menguruskan alam ini dengan penuh bijaksana dan berhemah. Bidang pendidikan didapati terlibat secara langsung dalam menanamkan kesedaran ini di samping sokongan daripada pihak-pihak berwajib yang lain.
Masalah-Masalah Yang Timbul/Wujud Dari Penggunaan Komputer Di Dalam Pendidikan
Sebagaimana yang telah dihuraikan tadi, aplikasi komputer dalam bidang pendidikan boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu pentadbiran pendidikan, penyelidikan pendidikan dan pengajaran dan pemelajaran. Disebabkan masalah-masalah yang timbul di dalam ketiga-tiga bahagian ini hampir sama, kita akan membincangkan masalah-masalah aplikasi komputer dalam pendidikan ini secara bersepadu.
a) Latihan Ulangan
Terdapat banyak perisian aplikasi pengautomasian pejabat di pasaran. Terdapat juga berbagai-bagai jenis perisian untuk penyelidikan mahupun untuk pendidikan. Setiap orang perseorangan yang ditugaskan mengendalikan perisian-perisian ini samada guru, kerani, pegawai penyelidik atau lain-lain, perlu menjalani latihan menggunakan perisian tersebut di samping mempelajari cara penggunaan komputer itu sendiri. Masalah akan timbul sekiranya orang perseorangan atau pekerja terbabit berhenti atau ditukarkan ke bahagian lain. Latihan perlu dilakukan semula kepada pengguna pengganti.
b) Kos Yang Tinggi
Kos mendapatkan peralatan dan perisian komputer masih lagi tinggi walaupun dijangkakan akan menurun. Kita bimbang dengan perkembangan pesat teknologi maklumat, syarikat-syarikat atau orang perseorangan sentiasa mengeluarkan peralatan dan perisian baru yang berharga tinggi.
Kerja-kerja penyelidikan selalunya memakan masa yang panjang. Oleh itu kos yang tinggi diperlukan dari segi penyenggaraan sistem, tenaga pekerja, peralatan-peralatan bantuan dan terutamanya sekali perkakasan yang diperlukan.
Disebabkan bidang teknologi maklumat dalam pendidikan masih baru dan tinggi permintaannya, maka institusi-institusi pengajian bertindak menaikkan yuran untuk mengikuti kursus-kursus tersebut. Pelajar-pelajar pelu memiliki komputer sendiri untuk mengelakkan persaingan di makmal-makmal komputer institusi pengajian.
c) Laporan/Maklumat Tidak Tepat
Staf yang ditugaskan mengendalikan perisian atau memasukkan data boleh mengakibatkan laporan yang diproses atau dianalisis oleh perisian tidak tepat. Ianya boleh berlaku umpamanya seperti kerja kemasukan data yang banyak dan berterusan.
Kesilapan juga boleh berlaku terhadap hasil penyelidikan sekiranya berlaku kecuaian semasa memasukkan data atau kesilapan dalam pembangunan sistem penyelidikan itu sendiri kerana kompleksnya sesuatu sistem penyelidikan tersebut.
Kemunculan virus-virus komputer boleh juga mengakibatkan kesilapan dalam analisis data.
d) Pergantungan Tinggi Kepada Komputer
Staf yang biasa atau selalu menggunakan komputer untuk membantu kerja-kerjanya mungkin boleh menyebabkan kerja-kerja tertangguh sekiranya terjadi sesuatu yang di luar jangkaan seperti kerosakan kepada komputer atau tenaga elektrik.
Pemelajaran di dalam kelas juga boleh terganggu sekiranya guru hanya bergantung kepada komputer untuk melaksanakan pengajaran.
e) Jenayah Kolar Putih
Terhadnya staf yang diberi kebenaran menggunakan komputer atau yang mahir menggunakan kompuer boleh menggalakkan jenayah kolar putih dengan mengelirukan angka-angka pada data komputer kerana ianya sukar dikesan.
f) Kurang Kepakaran
Kerja-kerja penyelidikan berbantukan komputer memerlukan tenaga kerja yang bukan sahaja pakar dalam bidang penyelidikan tersebut tetapi juga mahir dalam bidang komputer terutamanya sewaktu proses pembangunan sistem penyelidikan.Guru-guru yang pakar mengendalikan komputer juga diperlukan untuk melaksanakan pengajaran berbantukan komputer atau literasi komputer.
g) Sosialisasi
Kerja-kerja penyelidikan berkomputer juga boleh menyebabkan staf penyelidikan terlalu taksub terhadap komputer atau tugasnya hingga boleh melalaikan dari bersosial dengan masyarakat luar. Ia juga boleh melenyapkan empati terhadap orang lain kerana terlalu serius dalam tugas.
Penggunaan komputer sebagai alat pengajaran juga boleh mengakibatkan interaksi antara guru dan murid berkurang sekiranya guru tidak peka kepada tanggungjawab guru sebenarnya bukan hanya sekadar mengajar tetapi juga mendidik dan membimbing.
h) "Computer Phobia"
Disebalik perkembangan pesat dalam pengkomputeran, wujud juga segolongan manusia yang tidak berupaya atau berpeluang mengikuti perkembangan pesat teknologi maklumat. Mereka ini boleh bersikap takutkan komputer atau tidak mahu menggunakan komputer kerana kurang keyakinan mereka terhadap komputer. Di hati mereka boleh juga wujud rasa rendah diri apabila berada di kalangan individu yang celik komputer.
i) Internet
Internet tidak dimiliki oleh sesiapa. Setiap pengguna Internet bebas memasukkan apa-apa maklumat yang ingin mereka sampaikan kepada pengguna lain. Oleh itu adalah sukar bagi pihak pendidikan untuk menapis kandungan-kandungan yang baik dan elok sahaja untuk pelajar-pelajar.
Cara Mengatasi Masalah-Masalah Yang Wujud Kesan Dari Penggunaan Komputer
Berikut merupakan cadangan-cadangan yang difikirkan sesuai untuk mengatasi masalah-masalah yang wujud dari kesan penggunaan komputer. Kami mengklasifikasikan kepada tiga bahagian iaitu dari segi pentadbiran, penyelidikan dan pengajaran dan pemelajaran.
Dari segi pentadbiran, adalah perlu pihak pengurus atau pentadbir mengambil kira dari segi pembangunan sumber manusia. Adalah dicadangkan supaya pihak pentadbir :
• Mempertingkatkan latihan kepada kakitangan
Ini adalah untuk menyediakan kakitangan mereka menghadapi perkembangan teknologi maklumat yang terkini. Sekiranya semua kakitangan telah diperlengkapkan dengan kemahiran-kemahiran yang sepatutnya, sudah tentu masalah kehilangan tenaga pakar tidak berlaku andainya terjadi pertukaran kakitangan pada organisasi tersebut.
• Menitikberatkan kebajikan pekerja
Pihak pentadbir juga perlu menjaga kebajikan pekerja untuk mengelakkan berlakunya perpindahan pekerja ke organisasi lain. Malah masalah seperti kemasukan data yang salah (Garbage In Garbage Out - GIGO) dapat dihapuskan sekiranya pentadbir memberi peluang dan masa yang secukupnya untuk kakitangan mereka menjalankan tugas. Selalunya kesilapan berlaku kerana kecuaian pekerja yang melakukan kerja secara tergopoh-gapah. Mungkin kerana mahu cepat siap, faktor kuantiti sahaja yang diambil kira, dan ini menyebabkan mereka mengabaikan faktor kualiti. Kebajikan pekerja perlu diambil berat. Adalah dicadangkan juga setiap data atau maklumat yang dimasukkan disemak oleh "Quality Control". Ini dapat menghasilkan data yang lebih tepat dan jitu.
• Penerapan Nilai-nilai murni
Jenayah kolar putih sering berlaku kerana kakitangan tidak mempunyai sikap jujur,amanah dan bersih. Penerapan nilai-nilai murni adalah wajar disarankan untuk diserapkan ke dalam jiwa dan sanubari kakitangan. Di samping itu, pihak pentadbir bertanggungjawab untuk mengambil inisiatif segera dalam memahami dan mengatasi masalah yang dihadapi kakitangan mereka. Penyelewengan mungkin berlaku kerana tekanan emosi atau kesempitan wang. Oleh itu, kemungkinan kepincangan pada pihak pentadbiran mungkin boleh mengakibatkan berlakunya gejala negatif seperti ini. Sekiranya kebajikan pekerja
• Melahirkan graduan yang berkualiti
Institusi Pengajian Tinggi serta institusi swasta juga memainkan peranan yang penting terhadap kekurangan tenaga mahir tempatan dalam bidang teknologi maklumat. Dengan adanya graduan yang berkualiti dan berkuantiti ini, maka masalah tenaga pakar dapat dimansuhkan. Graduan-graduan inilah yang akan menerajui teknologi komputer dimasa hadapan.
• Menguatkan akta hakcipta dari segi undang-undang
Sememangnya akta hakcipta dari segi undang-undang telah ada. Namun begitu tindakan yang serius tidak dijalankan yang menyebabkan berlakunya kesalahan menggunakan perisian tanpa lesen yang sah. Keadaan ini memaksa pengeluar mencipta virus, yang walaupun pada asalnya bertujuan untuk memelihara perisian mereka, telah sedikit sebanyak menyusahkan pengguna yang lain. Sekiranya undang-undang diperketatkan, sudah tentu tidak wujud lagi situasi penggunaan "pirate copy". Disamping itu juga, sekiranya kos perolehan perisian dapat diturunkan akan menggalakkan pengguna mendapatkan perisian yang asli dan tidak "pirate copy".
• Pembuatan perbuatan komputer tempatan
Pengeluaran peralatan teknologi dari tempatan juga adalah digalakkan. Dengan penghasilan produk ini secara tempatan, sudah tentu kos pembuatan dapat dikurangkan dan seterusnya kos peralatan juga dapat diturunkan sebanyak mungkin.
• Pemilihan yang bijak.
Perolehan peralatan juga perlu dibuat dengan bijak. Beli peralatan yang perlu sahaja dan elakkan dari pembaziran wang dengan membuat perolehan yang tidak penting. Cara ini dapat mengurangkan kos perolehan peralatan teknologi maklumat.
• Luangkan Masa Bersosial dan Prinsip diri.
Seringkali penggunaan teknologi maklumat dikaitkan dengan pengurangan nilai-nilai sosial dikalangan masyarakat. Pihak bertanggungjawab perlu sedar tentang ini dan hendaklah beri masa yang sesuai untuk membolehkan kakitangan mereka bergaul dengan masyarakat. Malah pada pendapat kami dengan adanya kemudahan teknologi maklumat, sekiranya digunakan dengan bijak boleh merapatkan hubungan samada pada lokasi yang dekat mahupun di hujung dunia, kerana teknologi komputer telah melahirkan "global village". Manusia menjadi semakin dekat tanpa mengira faktor geografi dan jarak.
Dari segi pengajaran dan pemelajaran pula, perkara-perkara yang disarankan ialah :
• Peruntukan dari Kerajaan
Untuk mengatasi masalah kurang kelengkapan dan peralatan komputer di sekolah-sekolah dan institusi pengajian, pihak kerajaan perlu campurtangan dengan memberikan peruntukan yang secukupnya untuk membolehkan organisasi terbabit melengkapkan institusi pengajian dengan kemudahan dan kelengkapan yang mencukupi untuk semua pelajar.
• Tingkatkan keselamatan komputer
Kejadian-kejadian seperti di San Diego di mana tiga orang pelajar telah digantung pengajian mereka kerana cuba memecah masuk ke sistem komputer sekolah untuk menukar gred dan tugasan mereka; di UCLA di mana Ronald Austin seorang pelajar universiti tersebut telh didakwa kerana cubaan memecah masuk ke 200 akaun yang dimiliki oleh Advanced Research Projects Agency Network (Arpanet) akan dapat dihapuskan sekiranya langkah berjaga-jaga diambilberat. Malah keselamatan komputer perlu diambil berat untuk mengelakkan gejala negatif seperti ini berlaku lagi.
• Guru Tidak Terlalu bergantung kepada perisian
Kurangnya interaksi antara guru dan pelajar juga sering dikaitkan dengan adanya teknologi komputer. Dalam hal ini, sebagai guru kita hendaklah bertindak dengan bijak. Sifat terlalu bergantung kepada perisian perlu dilenyapkan. Guru-guru perlu bertindak sebagai pembimbing dan penunjukcara yang aktif. Dengan ini dapat merapatkan lagi hubungan guru dengan murid dan dapat memperbanyakkan interaksi dengan pelajar. Mahu seribu daya, tidak mahu seribu dalih, pepatah lama perlu dipegang.
• Didikan awal
Didikan awal dan penerapan nilai-nilai murni adalah penting untuk melahirkan generasi bermaklumat yang bermoral. Sekiranya didikan nilai-nilai murni telah ditanam di jiwa pelajar-pelajar, tidak akan berlaku kesalahan atau jenayah komputer yang membimbangkan generasi akan datang.
• Membudayakan Masyarakat
Masyarakat perlu dibudayakan dengan pendedahan kepada teknologi komputer. Inisiatif ini perlu diambil oleh setiap individu itu sendiri. Setiap individu hendaklah cuba mempertingkatkan diri mereka dengan kemahiran-kemahiran terkini. Malah membudayakan masyarakat dengan literasi komputer akan menjadi lebih mudah sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dan kerjasama yang serius.
Kesimpulan
Tidak dinafikan perkembangan pesat teknologi maklumat khususnya komputer telah menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat. Namun begitu perkara ini masih boleh dibendung jika setiap individu mengambil tindakan yang serius untuk mengatasinya. Sekiranya langkah yang sesuai dan betul dilaksanakan oleh pihak yang bertanggungjawab, perkembangan pesat ini boleh memajukan sesebuah negara dan dunia amnya. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Bergantung kepada usaha dan inisiatif kita untuk membendung masalah ini dan menggunakan teknologi komputer sebaik mungkin.

10 peranan untuk menjadi guru cemerlang...

Kecemerlangan sebenar seorang guru tidak boleh diukur pada keupayaan dan kemampuan mengajar semata-mata kerana fungsi sebenar guru bukan setakat melahirkan pelajar yang mempunyai pencapaian terbaik dan cemerlang dari segi inteleknya, tetapi juga merangkumi segenap aspek kehidupan insan iaitu jasmani, emosi, dan rohaninya dan berakhlak cemerlang ( Hasrat yang tersirat di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan ). Berikut 10 peranan yang perlu dilaksanakan guru untuk menjadi orang yang cemerlang :-1.Guru sebagai PENDAKWAH :
Guru bertanggungjawab bukan saja mengajar dan menyampaikan ilmu kepada pelajarnya, tetapi juga membentuk mereka menjadi insan sehingga boleh berperanan mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah manusia melakukan perkara yang tidak baik.
2.Guru sebagai PENDIDIK :
Guru perlu melaksanakan tugas asasinya untuk membentuk pelajar menjadi insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani an intelek seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sebenarnya mendidik bukanlah tugas guru semata-mata, sebaliknya setiap orang mesti menjadi pendidik.
3.Guru sebagai PEMIMPIN :
Setiap guru bertanggungjawab memberi bimbingan dan pimpinan kepada anak didiknya. Guru adalah pemimpin sekurang-kurangnya pada peringkat kelasnya. Jika pengetua adalah pemimpin di sekolah. Guru yang akan melahirkan pemimpin. Oleh itu, guru yang tidak boleh menjadi pemimpin yang baik, tidak boleh menjadi guru yang baik.
4.Guru sebagai PEKERJA :
Guru perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya seperti diamanahkan oleh majikannya. Dengan itu, guru mesti patuh pada arahan yang diberikan kepadanya.
5.Guru sebagai PENGUSAHA :

Sama seperti seorang pengusaha, guru juga perlu memiliki sifat inovatif dan kreatif supaya hasil usahanya mengajar dan mendidik pelajar mencapai keuntungan yang diharapkan. Keuntungan di sini bukan keuntungan dalam bentuk kebendaan, sebaliknya kejayaannya melahirkan modal insan yang mempunyai nilai tambah. Dengan itu,pelajar berkenaan akan menjadi modal insan yang berguna untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Untuk mencapai matlamat ini, guru mestilah bersedia dan sanggup memberikan kepada pelajarnya ilmu dan kemahiran lebih daripada apa yang ada dalam sukatan pelajaran.
6.Guru sebagai PROFESIONAL :
Guru mestilah melaksanakan tugasnya dengan secara profesional dengan mengamalkan sifat seperti berdisiplin, menepati waktu dan tidak pilih kasih terhadap pelajarnya.
7.Guru sebagai PENGIKUT :
Setiap guru bukan saja perlu menjadi pemimpin tetapi juga pengikut yang baik. Malah ada cerdik pandai yang menyatakan bahawa mereka yang tidak boleh menjadi pengikut, tidak boleh menjadi pemimpin yang baik. Sebagai pengikut, guru mesti menerima dan melaksanakan arahan ketuanya ( Pengetua ).
8.Guru sebagai PEJUANG :
Guru mesti bekerja dan melaksanakan tugas serta tanggungjawabnya dengan bersungguh-sungguh, bukan bersikap sambil lewa serta melepaskan batuk di tangga. Malah guru mesti mempunyai agenda yang jelas dalam melaksanakan tugas, tetapi bukan agenda peribadi, sebaliknya sentiasa meletakkan keutamaan bertugas untuk mendidik anak bangsanya menjadi orang yang berilmu serta berguna kepada masyarakat dan negara.
9.Guru sebagai PENYOKONG :
Guru mesti memberi sokongan kepada perkara yang mendatangkan faedah dan manfaat kepada pelajarnya. Bagaimanapun, sokongan itu mestilah berdasarkan kebenaran dan berprinsip, bukan sokongan secara membuta-tuli.
10.Guru sebagai orang yang PRODUKTIF :
Guru perlu sentiasa menggunakan masa dan tenaganya dengan cara yang berkesan sama ada sewaktu di sekolah mahupun selepas waktu persekolahan. Sehubungan itu, guru tidak boleh beranggapan tugasnya pergi dan balik dari sekolah sebagai rutin harian yang tidak mempunyai sebarang makna atau sekadar untuk memenuhi arahan dan tanggungjawab yang diberikan, sebaliknya ia perlu sentiasa berusaha menggunakan masa dan tenaganya bagi kebaikan pelajar, sekolah dan masyarakatnya. Tiga perkara asas yang perlu dimiliki oleh guru untuk membolehkan mereka memahami dan melaksanakan 10 peranan di atas:-

1. Memiliki ilmu : Guru mesti menguasai ilmu dalam bidang dan subjek yang diajarnya. Malah guru perlu sentiasa meningkatkan ilmunya dalam bidang dan subjek berkenaan supaya ilmu dan pengetahuannya seiring dengan perkembangan semasa.
2. Memiliki kemahiran : Untuk menjadi orang yang cekap dan berkesan, guru perlu memiliki kemahiran yang diperlukan seperti kemahiran menyampai dan kemahiran berkomunikasi.
3. Memiliki sikap yang betul : Guru perlu memiliki sikap dan kefahaman yang betul mengenai tugas dan tanggungjawabnya serta melaksanakannya dengan sepenuh hati, bukan bersikap sambil lewa. Ia termasuk membuat persediaan dan persiapan untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar di dalam kelas.

***Dalam konteks guru , guru yang cemerlang adalah yang memperlihatkan kemahiran, pengetahuan, kesungguhan dan keghairahan terhadap pelajar, sekolah dan masyarakat melebihi standard semasa yang ada. Guru yang berupaya menghasilkan pelajar yang luar biasa.

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sekolah

  
Murid-murid SK Sungai Pasir Kechil, Sg. Petani sedang berarak sambil berselawat.


Bacaan Yaasin sebelum majlis bermula.


Semua murid berkumpul di Dataran Tun Fatimah.

  
Semua murid  sedang menunggu giliran untuk membuat persembahan.


Persembahan Nasyid oleh murid-murid  Tahun 5.


Persembahan Nasyid oleh guru-guru Pendidikan Islam.


Antara sepanduk yang digunakan untuk majlis ini.


Cantik...


Setelah selesai berarak..


Ceramah


Semua murid memberikan tumpuan kepada ceramah yang disampaikan.


Aplikasi komputer dalam pengajaran bahasa.


Pengajaran bahasa menggunakan komputer adalah antara kaedah pengajaran yang dianggap bersesuaian   dengan keperluan pendidikan kini.  Penggunaan komputer dalam pengajaran bahasa mampu mempengaruhi keberkesanan pengajaran guru dan penguasaan kemahiran bahasa pelajar.

   Guru perlu didedahkan dengan kursus yang berkaitan dengan multimedia supaya mereka dapat menguasai konsep pengajaran berbantukan komputer. Kesan pengajaran bahasa menggunakan komputer kepada pelajar agak positif terutama kepada pelajar cerdas.

   Namun begitu terdapat beberapa isu yang sering dikaitkan dalam penggunaan dalam pengajaran menggunakan komputer iaitu :
    1. Guru kurang bersedia untuk membangunkan pengajaran berbantukan komputer.
    2. Permasalahan dari segi perisian hardware
    3. Sikap guru, pentadbir ,latihan dan masyarakat.

   Penggunaan komputer dalam pengajaran Bahasa Malaysia dilihat sebagai usaha untuk mengatasi masalah 
penguasaan kemahiran asas Bahasa Malaysia seperti kemahiran lisan, membaca dan menulis.

Cara-cara membina blog..


Salam ... kepada sesiapa yang masih belum mengetahui cara-cara untuk membuat blog, sila rujuk langkah-langkah seperti berikut:

1. Anda mestilah mempunyai gmail terlebih dahulu. Buka Google Search dan taip Gmail.


2. Isikan semua maklumat yang diperlukan untuk menghasilkan gmail account.

 3. Setelah selesai,keluar dahulu daripada gmail account.


4. Anda pergi semula ke Google Search, taip Blogspot.


5. Pilih  Blogger Create Your Free Blog.


6. Masukkan alamat email yang dibuat pada langkah 2 dan sign in.

7.Lengkapkan semua maklumat yang diperlukan.


8. Pilih  template yang sesuai.


9. Blog anda telah berjaya didaftarkan.

 10. Anda boleh mula menaip artikel atau memuat naik gambar. Pilih butang new post.


11. Setelah anda pilih ikon pada langkah 10,paparan ini akan keluar. Setelah siap, klik pada butang publish post yang berwarna oren. Selamat berjaya...


Diharap paparan di atas dapat membantu anda membuat blog .Selamat Mencuba.....